Wednesday, June 11, 2008

Kes Sanusi dan UIAM

TERBARU: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin menegaskan, keputusan menamatkan perkhidmatan Tan Sri Sanusi Junid sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA) adalah keputusan dan hak Sultan Pahang selaku Ketua Perlembagaan universiti itu. Katanya, keputusan tersebut adalah keputusan Sultan Pahang dan beliau tidak mempunyai ulasan lanjut mengenai perkara berkenaan. Ditanya dakwaan Sanusi bahawa tindakan Sultan Pahang itu dibuat kerana adanya desakan daripada kerajaan, Khaled berkata : "Itu kena tanya Sultan Pahanglah…saya tidak boleh memberikan jawapan bagi pihak Sultan Pahang,” ulasnya ringkas ketika dihubungi oleh Agendadaily. Berita awal : Persoalan mengenai kedudukan Tan Sri Sanusi Junid sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA) hari Selasa terjawab apabila beliau mengesahkan telah menerima surat penamatan khidmatnya di universiti berkenaan. Namun pada sidang medianya di Kuala Lumpur petang Selasa, Sanusi berkata, tidak mungkin Sultan Pahang selaku Ketua Perlembagaan UIA memecat beliau kerana berdasarkan perlembagaan UIA, Ketua Perlembagaan hanya akan bertindak atas nasihat negara tuan rumah (dalam konteks ini negara tuan rumah bermaksud Perdana Menteri). Berdasarkan kenyataan media yang diedarkan kepada media sebelum sidang medianya bermula kira-kira jam 4 petang, Sanusi memaklumkan, beliau menerima surat yang ditandatangani oleh Sultan Pahang selaku Ketua Perlembagaan UIA tersebut hari Rabu (9 Jun 2008). Sanusi dalam kenyataanya mendakwa, beliau percaya penamatan khidmatnya sebagai Presiden UIA bukanlah atas kehendak Sultan Pahang selaku Ketua Perlembagaan tetapi disebabkan adanya desakan daripada pentadbiran kerajaan. Berdasarkan kepada perlembagaan UIA, perlantikan dan penamatan khidmat Presiden adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Ketua Perlembagaan. UIA yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat tidak terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pengajian Tinggi tetapi sebaliknya mempunyai kuasa otonomi dalam soal perlantikan dan penamatan perkhidmatan seseorang di universiti berkenaan. Isu kedudukan Sanusi menjadi topik yang hangat diperkatakan ekoran tindakannya keluar dairpada UMNO kerana sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan negara. Dalam perkara yang sama, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob pernah mencadangkan agar Datuk Mokhzani Mahathir turut melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Sepang International Circuit (SIC) dengan alas an secara prinsip jika Mokhzani keluar UMNO kerana tidak yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, beliau tidak seharusnya terus pegang jawatan yang dilantik oleh Perdana Menteri. Ekoran kenyataan itu, timbul pandangan bagaimana pula dengan kedudukan Sanusi di UIA yang juga keluar UMNO kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Agendadaily pernah melaporkan kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin yang menegaskan, kuasa melantik atau menamatkan perkhidmatan Sanusi terletak di bawah bidang kuasa Sultan Pahang selaku Ketua Perlembagaan. Tegas Khaled, kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menamatkan perkhidmatan Sanusi kerana kuasa terletak di tangan Ketua Perlmbagaan dan akta universiti itu tidak berada di bawah bidang kuasa kementeriannya. – 10/6/2008

Selepas Mokhzani...Sanusi di UIA macam mana Setelah heboh cerita pasal Datuk Mokhzani Mahathir perlu letak jawatan Sepang International Circuit (SIC) ada pihak yang bertanya bagaimana pula dengan kedudukan bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid yang kini menjadi Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Jika lihat kepada tindakan Sanusi, ia tidak ada bezanya dengan apa yang dilakukan oleh Mokhzani. Kedua-dua mereka secara terbuka telah menyatakan tidak percaya dengan kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Dalam kes Mokhzani, alasan yang diberikan agar beliau berundur daripada jawatan itu kerana secara prinsip, bagaimana beliau boleh kekal pada jawatan Pengerusi SIC sedangkan beliau dilantik oleh Abdullah dan beliau pula telah hilang keyakinan kepada Abdullah. Selepas isu Mokhzani dibangkitkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob dan disokong oleh Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman Said, kini ada yang tertunggu-tunggu apa pula langkah Kementerian Pengajian Tinggi yang diterajui Datuk Seri Abdul Khaled Nordin berhubung kedudukan Sanusi. Logiknya menurut beberapa pemerhati, jika Mokhzani diminta berundur, Sanusi juga yang sudah hilang keyakinan kepada kepimpinan negara sepatutnya menerima desakan yang sama. Namun Khaled ketika dihubungi oleh Agendadaily menjelaskan, beliau buat masa ini hanya meneliti perkembangan yang membabitkan kedudukan Sanusi. Ditanya tidakkah beliau akan membuat desakan atau mengambil sebarang tindakan terhadap Sanusi, Khaled menjelaskan, UIA ditubuhkan di bawah akta syarikat. “Perlantikan beliau dibuat oleh ke bawah Duli Tuanku Sultan Pahang selaku Ketua Perlembagaan UIA… terserah kepada Tuanku Sultan Pahang…saya tidak mahu membuat sebarang kenyataan yang boleh merumitkan lagi keadaan,” ujar beliau. – 3/6/2008


MAHASISWA UIAM MOHON JANGAN DILIBATKAN UIAM DENGAN CAMPUR TANGAN LUAR. PIHAK PENTADBIRAN DAN MAHASISWA UIAM PERLU MENJAGA STATUS UIAM SEBAGAI SEBUAH UNIVERSITI YANG BERTARAF ANTARABANGSA.

No comments: